Penemuan teknologi
kacamata sangat berhubung kait dengan perkembangan kaca pembesar. Sejarah
penemuan teknologi kaca mata tertua dikatakan dimiliki oleh masyarakat di kota
kuno Niniwe(orang Rom).Mereka mengenal kaca mata, yang sebenarnya berfungsi
sebagai kaca pembesar dengan lensa menggunakan kristal. Masyarakat Yunani kuno
pula mempunyai kaca pembesar dengan bola kaca berisi air.
Tiga ratus tahun
sebelum masyarakat Eropah mengetahui perkara itu, peradaban Islam dikatakan
terlebih dahulu mengenali dan menemui ilmu tentang kanta. Bukti penemuan itu
jelas terungkap dalam karya Ibnu Al-Haitam (965 - 1039 Masihi), bertajuk
Al-Manazir.Kitab ini menerangkan tentang optik - masalah pembesaran objek dan
pembiasan cahaya. Malah, kebanyakan syair berusia sekitar 200 tahun yang
dikarang oleh Ibnu Al-Hamdis (1055 - 1133 Masihi) turut mengungkapkan secara
terperinci mengenai cermin mata.
Pada tahun 1268,
seorang tokoh ilmuwan iaitu Roger Bacon, berpendapat lensa diperlukan
sebagai peralatan optik.Roger Bacon menulis tentang kaca pembesar dan
menjelaskan bagaimana membesarkan benda menggunakan sepotong kaca.
Beberapa orang sejarahwan bagaimanapun mendakwa, Bacon telah mengambil idea itu
daripada Ibnu Al-Haitam. Beliau dikatakan terpengaruh dengan tulisan Al-Haitam
tentang optik yang sebelum itu pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin.
Pembuatan cermin
mata terawal dikatakan telah bermula di China. Masyarakat disana
dipercayai adalah orang pertama menggunakan alat tersebut sebagaimana lazim
digunakan sekarang.Cermin mata yang mereka hasilkan biasanya dari lensa
berbentuk bujur bersaiz besar, terbuat daripada kristal batu. Manakala bingkai
pula adalah daripada tempurung kura-kura.Pada waktu itu, bukan semua dikalangan
pemakai cermin mata mengalami masalah rabun. Bagi orang China pada zaman itu,
pemakaian cermin mata hanyalah sebagai alat untuk menjadikan mereka kelihatan
lebih cerdik dan berwibawa. Sehinggakan, mereka hanya mengenakan bingkai tanpa
menggunakan kanta pembesar.
Pada tahun 1270, Marco
Polo telah berlayar ke China. Sepanjang berada disana, beliau sangat
tertarik dengan cermin mata. Dia kemudiannya membawa benda tersebut
bersama-sama dalam pelayarannya.Bermula dari situ, penggunaan cermin mata
tersebar dengan begitu pantas ke seluruh dunia.Sejak itu juga, pada abad ke 13,
cermin mata mula terkenal di Eropah. Pada awal kemunculannya, ia masih
menyerupai cermin mata buatan China, terbuat daripada batu kristal.
Untuk beberapa
waktu, masyarakat Eropah pernah menggunakan cermin mata yang dikepit dengan
sejenis peniti ke atas hidung mereka. Ada yang berpendapat, untuk memakainya
perlu memasang logam panjang bermula dari batang hidung hingga ke bahagian
tengah kepala dan turun ke bahagian leher.Akan tetapi, gaya cermin mata
begitu kurang diminati kerana cara pemakaiannya sangat rumit dan tidak
praktikal. Model lain yang di reka ialah dengan memasang rantai kecil pada
kedua sisi kacamata dan di ikatkan pada bahagian belakang kepala.
Namun
walaubagaimanapun, semua cubaan itu tidak mendapat sambutan daripada mereka
yang menggunakan kacamata sehingga pada tahun 1784, kaca mata bifokus pertama
di dunia dihasilkan oleh penulis ilmuwan Amerika yang dikenali sebagai Benjamin
Franklin. Alat optik berkenaan lebih selesa dan memudahkan aktiviti seperti
perjalanan selain daripada boleh menikmati pemandangan dan membaca.Benjamin
Franklin juga telah berjaya memisahkan kanta cembung dan cekung.
Menelusuri
evolusi cermin mata, nyatalah ia merupakan salah satu penemuan terpenting dalam
sejarah kehidupan manusia.Tidak hairanlah kenapa banyak peradaban dunia tampil
mendakwa sebagai pencipta terawal cermin mata di dunia.
Akhirnya, asal-usul
cermin mata - siapa pencipta pertama, dari mana dan bila, sehingga kini terus
menjadi rahsia.